
- Pada 11 Januari 2021 jam 5.30 pagi kami sekeluarga bergegas ke hospital setelah menerima panggilan telefon dari hospital. Disebabkan perjalanan yang jauh kami tiba jam 6 pagi dan sejurus ke wad CCU. Jururawat memanggil kami semua masuk dan ketika itu lah... kami melihat emak dan langsung diberitahu bahawa beliau sudah pergi menghadap Ilahi jam 5.09 pagi. Sungguh kami tidak sangka.
- Aku tak sempat ucap terima kasih sambil meratapinya, tak sempat. Sungguh Allah lebih menyayangi mu, emak. Tapi kami sangat bersyukur kerana pemergian emak dipermudahkan dan beliau pergi dengan tenang. Tetap aku sedih kerana tidak berada di sisinya saat terakhir, minta maaf emak.
- Jujur aku katakan yang aku tidak pernah melihat ayahku menangis, tapi sepanjang arwah emak di wad CCU tidak berhenti ayahku mengharapkan supaya emak dapat pulang kepada kami seperti dahulu. Aku tahu ayah sangat tidak bersedia ditinggalkan emak. Aku sedih. Aku yang selama ini tidak pernah memeluk sesiapa, aku peluk ayahku dengan kuat mengharapkan beliau terus tabah dan mengingatkan bahawa beliau tidak keseorangan. Allah lebih mengetahui segalanya.
- Emak, kami merasakan yang emak sudah tahu.. emak tahu yang emak akan tinggalkan kami selamanya. Tapi emak tidak katakan apa-apa, hanya senyuman manis yang terukir. Setiap hari bangun dari tidur, aku sentiasa mengharapkan ini adalah mimpi. Aku membayangkan emak ada di ruang tamu, ada di dapur. Tapi sayang, ini semua realiti.
- Semasa emak ada, aku sentiasa memikirkan untuk memeluk erat emak tanpa perlu sebab. Tapi tak pernah aku lakukan.. mungkin aku terlalu ingin menyembunyikan rasa kasih itu. Menyesal aku sekarang, emak. Yang ada kini cuma memori berserta gambar-gambarmu. Tidak lagi dapat mendengar emak berkata-kata, mendengar cerita-ceritamu.
- Emak, tak sempat kita tidur di hotel yang emak nak pergi. Tak sempat kita berjalan-jalan bersama ke Indonesia. Emak pun teringin ku bawa ke Jepun kan? Maaf emak..semuanya tak berjalan seperti yang dirancang. Emak jaga diri baik-baik di sana.
No comments:
Post a Comment
*bersopan.
*anda hormat, saya hormat :)